RCI Tabung Haji: SPRM Tahan Dia Lelaki, Siasat Rasuah RM300,000, Penyelewengan Kontrak RM8 Juta

PUTRAJAYA: Pendedahan hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji terus membawa perkembangan baharu apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki dalam dua siasatan berasingan membabitkan dakwaan rasuah dan penyelewengan kontrak bernilai keseluruhan lebih RM8 juta.

Penahanan itu membabitkan seorang pengarah syarikat reka bentuk serta bekas pengurus ladang, hasil siasatan pasukan khas SPRM yang ditubuhkan bagi meneliti penemuan dalam laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Menurut sumber, pengarah syarikat berusia lingkungan 50-an itu disyaki memberi rasuah dengan menanggung kos pengubahsuaian empat rumah milik bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun membabitkan nilai kira-kira RM300,000.

Difahamkan, habuan itu dipercayai diberikan sebagai balasan membantu syarikat milik suspek memperoleh beberapa projek pengubahsuaian di badan berkanun berkenaan sepanjang tempoh 2014 hingga 2018.

Suspek ditahan kira-kira jam 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan remannya selama dua hari sehingga 5 Ogos. Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah.

Dalam perkembangan berasingan, seorang bekas pengurus ladang berusia lingkungan 50-an turut ditahan selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan kontrak pembekalan anak benih getah kepada dua syarikat perladangan yang juga anak syarikat sebuah badan berkanun.

Sumber berkata, kontrak yang dipercayai diseleweng itu dianggarkan bernilai RM8 juta dan berlaku antara 2015 hingga 2017.

Suspek, yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembekal anak benih di Lembah Klang, ditahan kira-kira jam 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Mahkamah turut membenarkan permohonan reman selama tiga hari sehingga 6 Ogos terhadap suspek.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abd Halim Aman mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan terhadap pengarah syarikat dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana disyaki memberi rasuah, manakala siasatan terhadap bekas pengurus ladang dijalankan mengikut Seksyen 18 akta sama yang membabitkan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

BBerkaitan

Latest articles