PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperluaskan siasatan Op Crack apabila lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi tujuan meluluskan permohonan secara tidak sah.
Penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 11 pegawai imigresen diberkas setakat ini, selepas enam lagi pegawai ditahan dalam operasi sama minggu lalu.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan selepas hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Dalam perkembangan sama, sumber memaklumkan SPRM telah mengambil keterangan daripada 17 individu bagi membantu siasatan berhubung sindiket berkenaan.
Selain itu, suruhanjaya berkenaan turut membekukan sembilan akaun bank, melibatkan empat akaun milik individu dan dua akaun syarikat, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM300,000 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan enam pegawai imigresen dan seorang pegawai polis merupakan antara 12 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket menggodam sistem MyIMMs bagi meluluskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.










