BENTONG: Perjalanan sebuah keluarga ke Janda Baik berakhir dengan tragedi apabila Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, bersama tiga ahli keluarganya maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mohd Radzi, 40, disahkan meninggal dunia bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak kembar mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan parah. Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk rawatan lanjut.
Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengesahkan nahas berkenaan ketika dihubungi.
Difahamkan, lima sekeluarga itu menaiki sebuah Ford Raptor dan sedang dalam perjalanan dari Bentong menuju ke Janda Baik sebelum sebatang pokok tiba-tiba tumbang lalu menghempap kenderaan mereka.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, operasi menyelamat mengambil masa lebih sejam berikutan empat mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk akibat dihempap pokok.
Bagaimanapun, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan.
Mayat mereka kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi tujuan bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa yang terselamat kini menerima rawatan lanjut akibat kecederaan parah.










