Dakwaan Jadi MB, Rampas Kuasa Kepimpinan Melayu Ketika Kempen Punca Kalah Di Chennah

KUALA LUMPUR : Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook, mengakui kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpunca daripada kempen yang didakwanya dipenuhi fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya.

Menurut beliau, antara dakwaan yang dimainkan sepanjang kempen ialah kononnya beliau mahu merampas kuasa daripada kepimpinan Melayu, menjadi Menteri Besar serta menguasai pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya bertanding di kerusi itu dan keputusannya tidak memihak kepada saya. Ia merupakan kempen paling sukar sepanjang 22 tahun penglibatan politik saya. Banyak serangan peribadi, tuduhan tidak berasas dan fitnah kononnya saya mahu menjadi Menteri Besar serta menguasai kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, malam tadi.

Beliau berkata, naratif berkenaan telah mewujudkan sentimen negatif, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Walaupun tewas, Loke berkata beliau tidak menyesali keputusan untuk bertanding kerana menganggap ia merupakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin politik.

“Sebagai seorang pemimpin, saya perlu menunjukkan keberanian walaupun bertanding di kerusi yang sukar. Kami menerima cabaran itu dan berjuang sehingga saat terakhir,” katanya.

Menurutnya, DAP masih memperoleh kira-kira 47 peratus undi di Chennah, termasuk sokongan sekitar 20 hingga 25 peratus daripada pengundi Melayu.

Beliau berkata, keputusan itu tetap dihormati sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.

Dalam perkembangan lain, Loke menegaskan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan bukan berpunca daripada sebarang tekanan mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau menyifatkan keputusan itu dibuat atas pertimbangan peribadi selepas memegang jawatan tersebut selama 22 tahun.

Katanya, walaupun beberapa pemimpin parti termasuk Penasihat DAP, Lim Guan Eng, memintanya terus kekal sebagai pengerusi negeri, beliau berpandangan sudah tiba masanya tanggungjawab itu diserahkan kepada pemimpin lain.

Sementara itu, Loke berkata pengganti beliau sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan akan dipilih oleh ahli-ahli CEC dalam mesyuarat khas yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

BBerkaitan

Latest articles