SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan bagasi juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan ketika melalui pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata suspek telah melepasi semua prosedur saringan keselamatan yang ditetapkan sebelum menaiki penerbangan ke Indonesia pada 28 Julai lalu.
Menurut beliau, pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas tidak mengesan sebarang objek mencurigakan pada bagasi terbabit, sekali gus menyebabkan ia tidak dikategorikan sebagai berisiko untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Bagasi itu tidak mencetuskan sebarang petunjuk yang memerlukan pemeriksaan sekunder mengikut prosedur operasi sedia ada,” katanya pada sidang akhbar di KLIA, hari ini.
Mengulas persoalan sama ada dadah berkenaan dimasukkan ke dalam bagasi selepas melalui pemeriksaan keselamatan, Shuhaily berkata perkara itu masih dalam siasatan dan enggan membuat sebarang spekulasi.
Beliau berkata, penjelasan lanjut hanya dapat diperoleh menerusi hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah.
Polis Republik Indonesia dilaporkan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai sekitar RM45 juta berdasarkan harga pasaran negara itu.
Siasatan awal pihak berkuasa republik itu mendakwa suspek menerima upah RM50,000 untuk membawa dadah berkenaan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum diserahkan kepada individu lain di sebuah hotel.
Polis Indonesia turut mendakwa suspek mengaku pernah melakukan penghantaran dadah ke Jakarta dan Sabah, selain sedang mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi di Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan polis Malaysia akan menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke Jakarta dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia serta membantu siasatan yang sedang dijalankan.










