KUALA LUMPUR: Cadangan menamakan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon perdana menteri disifatkan berpotensi menggugat kerjasama baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik dari Global Asia Consulting, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri menyifatkan isu calon perdana menteri merupakan antara perkara paling sensitif dalam sebarang rundingan membentuk gabungan politik, justeru ia tidak seharusnya dibangkitkan secara terburu-buru.
Menurut beliau, BN hampir pasti tidak akan menerima begitu sahaja calon yang dikemukakan PN kerana kedua-dua gabungan mempunyai aspirasi serta kepentingan politik masing-masing.
Katanya, polemik yang timbul sebelum ini berhubung cadangan menggunakan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN), selain beberapa kenyataan kontroversi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, membuktikan hubungan antara kedua-dua gabungan masih rapuh.
“Pengumuman calon perdana menteri terlalu awal berpotensi membuka semula pergeseran antara mereka,” katanya memetik laporan sebuah portal.
Pandangan itu turut dikongsi penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali yang menyifatkan cadangan tersebut boleh mencetuskan konflik ketika hubungan PN dan BN masih bertunjangkan persefahaman untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung Wawasan, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengangkat Hamzah sebagai calon perdana menteri berpotensi menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin BN.
“Apabila Saifuddin menyatakan Hamzah sebagai calon perdana menteri, ia berpotensi mencetuskan konflik antara BN dan PN,” katanya.
Mazlan berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka tidak akan bersetuju dengan cadangan itu walaupun beliau sebelum ini menyifatkannya sebagai “cita-cita baik” yang wajar dihormati.
Menurutnya, ucapan “selamat maju jaya” oleh Zahid juga boleh ditafsirkan sebagai sindiran memandangkan UMNO sukar menerima jawatan perdana menteri diserahkan kepada gabungan lain, kecuali keputusan pilihan raya memihak kepada mereka.
Beliau turut mengingatkan bahawa PN sendiri sebelum ini berdepan kesukaran memuktamadkan calon perdana menteri apabila muncul beberapa nama termasuk Hamzah, bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Dalam PN sendiri pun perkara itu tidak dapat diputuskan, apatah lagi apabila ia melibatkan kerjasama dengan BN. Saya fikir perkara ini mungkin mencetuskan konflik baharu,” katanya.
Terdahulu, dalam satu program audio siar, Saifuddin mencadangkan Hamzah sebagai wajah baharu calon perdana menteri sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Cadangan itu muncul ketika PN dan BN menjalinkan kerjasama dalam PRN Negeri Sembilan, dengan Hamzah sebelum ini membayangkan kerjasama tersebut sebagai permulaan kepada satu “jajaran baharu” yang boleh diperluaskan bagi mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
Bagaimanapun, di peringkat Persekutuan, BN kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pembentukan kerajaan susulan keputusan Parlimen tergantung pada PRU15.










