SEREMBAN — Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan membawa pendekatan yang lebih berorientasikan prestasi apabila menggariskan sasaran pembangunan yang boleh diukur, berbanding sekadar menawarkan janji bersifat umum.
Pensyarah dan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman berkata, manifesto tersebut menonjolkan beberapa indikator prestasi yang membolehkan rakyat menilai pencapaiannya secara objektif sepanjang tempoh pentadbiran.
Menurut beliau, antara komitmen utama yang diberi perhatian ialah sasaran mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, yang dilihat sebagai petunjuk lebih signifikan berbanding pengumuman jumlah projek atau nilai perbelanjaan semata-mata.
“Dari perspektif ekonomi pembangunan, penciptaan pekerjaan merupakan ukuran yang lebih dekat dengan keperluan rakyat kerana ia memberi kesan langsung kepada pendapatan dan taraf hidup,” katanya dalam satu analisis mengenai manifesto berkenaan.
Beliau berpandangan sasaran itu turut disokong oleh beberapa strategi yang saling berkait, termasuk usaha menarik pelaburan bernilai RM30 bilion dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, kemasukan pelaburan baharu lazimnya menjadi pemacu kepada pertumbuhan peluang pekerjaan, bukan sahaja melalui pembukaan syarikat dan kilang baharu, malah turut merangsang aktiviti dalam rantaian bekalan, perusahaan kecil dan sektor perkhidmatan.
Selain itu, beliau menyifatkan cadangan pelaksanaan konsep Satu Daerah, Satu Syarikat Utama sebagai pendekatan yang berpotensi mengimbangi pembangunan antara daerah.
Katanya, strategi itu mengiktiraf kekuatan ekonomi yang berbeza di setiap daerah sekali gus berupaya mengurangkan tumpuan pembangunan di kawasan tertentu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berhampiran komuniti setempat.
Dalam aspek pembangunan modal insan pula, beliau berkata sasaran melatih 20,000 peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan elemen penting dalam menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.
Menurut beliau, hubungan antara pembangunan TVET, kemasukan pelaburan dan penciptaan pekerjaan perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi, terutama ketika negara berdepan transformasi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat.
Beliau turut menarik perhatian kepada sasaran mewujudkan 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menerusi pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV), yang menurutnya berpotensi meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri.
“Cabaran utama hari ini bukan sekadar menyediakan pekerjaan, tetapi mewujudkan pekerjaan berkualiti dengan pendapatan yang lebih tinggi melalui sektor teknologi, automasi, aeroangkasa, elektronik dan ekonomi digital,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan cadangan menaik taraf kawasan industri serta infrastruktur turut menjadi faktor penting dalam meningkatkan daya saing Negeri Sembilan bagi menarik lebih banyak pelaburan.
Katanya, pelabur lazimnya menilai kecekapan logistik, utiliti, bakat tempatan dan pentadbiran selain insentif kewangan sebelum membuat keputusan untuk melabur.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan sesuatu manifesto akhirnya bergantung kepada keupayaan kerajaan melaksanakan setiap komitmen yang dijanjikan.
“Dari sudut penilaian dasar awam, manifesto yang mempunyai sasaran jelas, indikator prestasi dan strategi pelaksanaan lebih mudah dipantau serta dipertanggungjawabkan oleh rakyat berbanding manifesto yang hanya mengandungi janji umum,” katanya.
Beliau berkata isu pekerjaan, pembangunan luar bandar, pengukuhan TVET dan peningkatan pelaburan sememangnya antara cabaran utama yang perlu ditangani di Negeri Sembilan, justeru fokus manifesto BN terhadap aspek berkenaan dilihat selari dengan keperluan pembangunan negeri.
Menurutnya, budaya politik yang lebih matang seharusnya memberi penekanan kepada persaingan berasaskan dasar, dengan setiap janji dinilai melalui prestasi dan hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.










