Anwar Tegas Tiada Lagi Perlindungan Dalam Siasatan RCI Tabung Haji

KUALA PILAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim>, menegaskan siasatan susulan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji perlu dilaksanakan secara telus tanpa sebarang usaha melindungi individu yang didapati melakukan kesalahan.

Beliau berkata, laporan RCI yang telah disiapkan itu perlu dijadikan asas bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.

“Sesiapa yang didapati bersalah dalam laporan RCI itu, biarlah disiasat berdasarkan dapatan yang ada. Saya sebagai Perdana Menteri mengamanahkan supaya siasatan dijalankan secara telus dan jangan lagi ada usaha melindungi mana-mana pihak. Kita sudah terlalu lama menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerbitkan laporan RCI setebal 211 muka surat yang menyiasat pengurusan serta operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata beliau sentiasa bersedia menerima kritikan dan nasihat daripada rakyat, namun berharap teguran disampaikan secara membina dan bukannya menghina usaha kerajaan.

Menurutnya, pentadbiran Kerajaan MADANI memerlukan ruang untuk memperbetulkan kelemahan serta kecuaian yang berlaku sebelum ini, termasuk usaha memperkukuh kedudukan umat Islam dan membela golongan Melayu yang memerlukan.

“Tegurlah saya, nasihatlah saya. Kalau ada kelemahan, saya akui ia memang wujud. Tetapi berilah peluang kepada kerajaan untuk memperbaiki keadaan dan melaksanakan perubahan yang diperlukan,” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengingatkan rakyat Negeri Sembilan supaya membuat pilihan berdasarkan rekod integriti, amanah dan prestasi calon, bukannya dipengaruhi sentimen politik atau kebencian.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menurutnya mempunyai rekod pentadbiran bersih dan berintegriti.

“Sebab itu saya datang membantu Datuk Seri Aminuddin Harun. Saya tahu rekod beliau, tiada isu kehilangan balak, penyelewengan kontrak atau membawa wang ke luar negara,” katanya.

Negeri Sembilan akan mengadakan pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 5 Jun lalu, dengan seramai 867,151 pengundi berdaftar bakal memilih kerajaan negeri yang baharu.

Terdahulu, Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan menghimpunkan beberapa tokoh agama termasuk Sheikh Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wosabi dan Habib Nael Ben Taher, selain diisi dengan bacaan selawat, tausiyah serta persembahan nasyid oleh Kumpulan UNIC.

BBerkaitan

Latest articles