Jaga Rizab Negeri Demi Rakyat, Nurul Izzah Rayu Pengundi Kekalkan PH

KUALA PILAH: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menggesa rakyat Negeri Sembilan terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan pengurusan kewangan negeri kekal telus dan manfaatnya terus dinikmati rakyat.

Menurut beliau, pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, telah membuktikan keupayaan mengurus rizab serta dana negeri secara berhemah sebelum dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan.

“Saya hanya minta satu perkara, iaitu undilah calon-calon Harapan supaya duit Negeri Sembilan terus dipelihara dan digunakan untuk masa depan anak-anak serta pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina DUN Pilah di Jalan Tampin, malam tadi.

Dalam ucapannya, Nurul Izzah berkata rekod pentadbiran PH di Negeri Sembilan menjadi bukti keupayaan gabungan itu mentadbir dengan baik, khususnya dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Katanya, persepsi bahawa PH tidak mempunyai pengalaman mentadbir juga sudah tidak lagi relevan kerana kerajaan negeri kini mempunyai rekod pencapaian yang boleh dinilai.

“Menteri Besar sentiasa memberi perhatian kepada usaha memastikan anak-anak Negeri Sembilan yang cemerlang tidak tercicir daripada menerima bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Mengulas mengenai kempen PRN, beliau menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai medan untuk mempertahankan sokongan rakyat terhadap pentadbiran yang bertanggungjawab dan berintegriti, selain mengingatkan pengundi supaya tidak mudah dipengaruhi naratif berunsur ketakutan atau sentimen perkauman.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan, termasuk mereka yang bekerja di luar negeri, agar pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada 1 Ogos ini.

“Ini bukan soal gelombang biru atau merah, tetapi gelombang rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles