Pelik Sungguh Banyak Duit – Hamzah Persoal Sumber Dana ‘Pasukan Merah’


PORT DICKSON: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin meluahkan rasa pelik dan hairan melihat lambakan dana yang didakwanya diagih-agihkan secara sewenang-wenangnya oleh Pakatan Harapan (PH) atau ‘pasukan merah’ menjelang hari pembuangan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.

​Beliau mempersoalkan dari mana datangnya sumber kewangan berkenaan, sedangkan kepimpinan kerajaan sebelum ini sering melaungkan isu ‘sakau’ serta mendakwa negara menghadapi kekangan ekonomi.

​”Hari ini pasukan merah itu, saya pun hairan banyak betul duit mereka. Saya tengok dalam media sosial, bagi duit senang sewenang-wenangnya.

​”Yang Perdana Menteri duk cerita sakau-sakau ini, yang kata macam-macam tentang pasukan biru ini, akhirnya terbukti Allah tunjukkan kepada kita semua siapa yang main duit,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega ‘Biru-kan Port Dickson’ di Teluk Kemang, di sini malam tadi.

​Mengulas lanjut, bekas Menteri Dalam Negeri itu menegaskan sekiranya dana berkenaan diperolehi secara sah dan menerusi perniagaan yang betul, ia tidak akan ditabur dengan begitu mudah.

​”Kalaulah duit itu mereka yang benar-benar dapat secara betul, cara mereka buat perniagaan secara yang betul, percayalah tak mungkin boleh begitu lajunya duit diberi dengan sewenang-wenangnya.

​”Tak mungkin. Ini kerana duit datang dengan semudah mungkin,” bidasnya lagi.

​Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh atau terikat dari segi sokongan moral sekiranya diberi habuan kewangan sedemikian.

​”Kepada mereka yang sudah pun ambil duit belum lagi mengundi, pada 1 Ogos nanti jangan fikir tentang duit itu kerana duit itu mereka tak ingat pun datang daripada mana.

​”Ambil duit, masuk poket, terus undi pasukan biru (Perikatan Nasional). Kerana yang kita nak pastikan adalah kuasa untuk membentuk kerajaan secara adil untuk rakyat semua,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles