Kerjasama Rentas Sektor Membolehkan Pemimpin Lebih Memahami Cabaran Negara – Kathleen

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat sivil perlu diperkukuhkan bagi melahirkan pemimpin yang lebih memahami cabaran negara serta mampu mencari penyelesaian secara bersama.

Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, InFlow Fellowship diwujudkan bagi merapatkan jurang antara pelbagai sektor yang selama ini sering melihat antara satu sama lain daripada sudut yang berbeza.

Menurut beliau, persepsi sedemikian boleh diubah apabila pemimpin daripada pelbagai latar belakang duduk semeja, berkongsi pengalaman dan memahami cabaran yang dihadapi oleh setiap pihak.

“Apabila kita mula memahami masalah masing-masing, kita akan melihat satu sama lain sebagai rakan strategik dan bukannya pihak yang saling bertentangan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut disokong oleh beberapa rakan strategik termasuk Acumen, Komando yang diasaskan Tan Sri Idris Jala serta Blavatnik School of Government, University of Oxford.

Katanya, setiap organisasi membawa kepakaran tersendiri, termasuk modul kepimpinan adaptif, kerjasama rentas sektor dan perspektif kepimpinan global, selain bimbingan berterusan daripada jurulatih kepimpinan sepanjang tempoh 10 bulan program.

Mengulas pemilihan University of Oxford sebagai rakan kerjasama, Kathleen berkata, institusi itu dipilih kerana mempunyai kepakaran serta rekod kukuh dalam pembangunan kepimpinan dan perkongsian rentas sektor.

Bagaimanapun, beliau berkata, YTL Foundation tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan institusi lain pada masa depan bagi menambah baik program mengikut keperluan semasa.

BBerkaitan

Latest articles