JOHOR BAHRU: Seorang pegawai khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.
Tertuduh, G Thevendhiran, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh bayi berkenaan di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas Jaya, antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 1 Oktober depan bagi penyerahan laporan DNA, patologi serta forensik.
Kes itu sebelum ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas polis menahan bapa mangsa yang dikenal pasti sebagai suspek utama pada 18 Julai lalu.
Bayi terbabit meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 13 September 2023. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa serta beberapa kecederaan lain.
Dalam perkembangan berasingan, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM3,000 dan penjara sebulan selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.










