Fahmi: Analisis, Kajian Bukan Penentu Kemenangan, Sebaliknya Keputusan Pengundi

JEMPOL: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hanya akan ditentukan oleh pengundi, bukannya ramalan penganalisis politik atau kajian yang dibuat menjelang hari pengundian.

Menurut beliau, sebarang jangkaan atau ramalan mengenai keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai pembakar semangat kepada calon untuk terus bekerja keras mendekati rakyat, terutama pengundi atas pagar.

“Pada akhirnya, yang menentukan kemenangan mana-mana calon atau parti ialah pengundi yang keluar mengundi, bukannya kajian mahupun ramalan. Kenyataan seperti yang dibuat Dr Ong Kian Ming harus dijadikan cabaran untuk kita memperhebat usaha di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program minum petang bersama komuniti di FELDA Bukit Rokan Barat, hari ini.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR mengulas ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, mengenai potensi persaingan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

Mengimbas pengalamannya sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Fahmi berkata hampir semua kajian ketika itu meramalkan beliau akan tewas di Parlimen Lembah Pantai, namun keputusan sebenar membuktikan sebaliknya.

Beliau turut memaklumkan bahawa maklum balas diterima sepanjang tempoh berkempen menunjukkan sentimen dalam kalangan pengundi, khususnya pengundi atas pagar, semakin positif terhadap PH.

Katanya, ramai pengundi menghargai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk bantuan kepada usahawan, insentif pasangan baharu berkahwin, pemberian komputer riba kepada pelajar serta tawaran manifesto baharu yang antaranya memperkenalkan elaun khas kepada Datuk-Datuk Lembaga Adat.

Dalam perkembangan sama, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial, khususnya menerusi aplikasi WhatsApp, ketika kempen memasuki fasa akhir menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Beliau berkata, kebiasaannya terdapat pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan menyebarkan maklumat tidak tepat, kenyataan separuh benar atau video lama yang dikitar semula bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.

Sebagai contoh, katanya, minggu lalu tular semula rakaman lama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika masih menjadi Ketua Pembangkang yang disebarkan seolah-olah mengandungi kenyataan negatif terhadap anggota tentera.

“Saya menyeru semua pengundi supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat. Jika sesuatu berita itu tidak dilaporkan oleh media arus perdana atau saluran rasmi, kita perlu lebih berhati-hati sebelum mempercayai dan menyebarkannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles