Isu Tabung Haji: Asyraf Wajdi Tuntut Ganti Rugi RM5 Juta, Hantar Notis Tuntutan Kepada Dua Individu

​KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengemukakan Notis Tuntutan (LOD) ganti rugi bernilai RM5 juta terhadap dua individu berhubung dakwaan kenyataan fitnah berkaitan isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

​Menerusi satu hantaran di media sosialnya hari ini, Asyraf Wajdi mengesahkan peguam beliau, Datuk Adnan Seman daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates telah menyerahkan surat tuntutan berkenaan kepada pemilik akaun Facebook “Abied Abdullah”, iaitu Habin Faisal bin Mohamed serta Datuk Dr Ismail Salleh.

​Beliau berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan maruah dan prinsip dirinya yang terjejas akibat hantaran bercorak fitnah dan mengaibkan yang dimuat naik oleh pihak terbabit pada 24 Julai lepas.

​”Ini soal maruah dan prinsip saya yang tercalar dan bukan soal wang yang dituntut.

“Insya-Allah, setiap sen yang saya perolehi menerusi keputusan mahkamah kelak akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA untuk membantu anak-anak pelajar yang miskin dan susah,” katanya.

​Berdasarkan notis tuntutan tertarikh 27 Julai 2026 yang dikongsikan, tuntutan tersebut dibuat susulan satu terbitan di Facebook atas nama “Abied Abdullah” yang mengaitkan pimpinan politik terdahulu, termasuk Asyraf Wajdi semasa memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan didakwa ‘menjarah’ dana Tabung Haji antara tahun 2014 hingga 2018.

​Pihak peguam Asyraf Wajdi menegaskan bahawa kenyataan fitnah tersebut telah mengundang pelbagai reaksi serta komen negatif daripada warganet yang mencemarkan reputasi dan nama baik anak guam mereka secara serius.

​Menerusi LOD berkenaan, kedua-dua individu terbabit dituntut dalam tempoh lima hari untuk menarik balik kesemua kenyataan fitnah, memohon maaf secara bertulis dan melalui rakaman video di Facebook selama satu tahun, menyerahkan aku janji tidak mengulangi perbuatan tersebut, serta membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.

​Notis itu turut menegaskan bahawa sekiranya pihak berkenaan gagal atau enggan mematuhi sebarang tuntutan yang ditetapkan, tindakan saman sivil akan difailkan di mahkamah tanpa sebarang notis lanjut.

BBerkaitan

Latest articles