Isu Sampah Di Pekan Tanjong Ipoh Selesai, Megat Shariman Hargai Tindakan Pantas SWCORP

Seri Menanti – Isu kebersihan dan longgokan sampah di Pekan Ahad Tanjong Ipoh di sini, berjaya diselesaikan susulan tindakan pantas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia.

Dato’ Sri Megat D. Shahriman merakamkan penghargaan kepada SWCorp Malaysia atas tindakan cekap dan responsif menjalankan kerja-kerja pembersihan selepas isu berkenaan diketengahkan.

“Alhamdulillah, isu kebersihan dan longgokan sampah di Pekan Ahad Tanjong Ipoh telah diselesaikan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SWCorp Malaysia atas tindakan yang cepat, cekap serta responsif,” katanya.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja berjaya memulihkan kebersihan kawasan berkenaan, malah memberikan keselesaan kepada para peniaga, pengunjung dan penduduk setempat.

Sebelum ini, Megat Shahriman turut memuat naik keluhan mengenai tahap kebersihan kawasan itu ketika menjalankan tinjauan, termasuk keadaan tempat pembuangan sampah yang tidak terurus serta tandas awam yang kotor dan kurang diselenggara.

Beliau menegaskan bahawa kebersihan bukan sekadar mencerminkan imej sesebuah kawasan, bahkan turut menentukan tahap kesihatan dan kualiti hidup masyarakat.

Katanya, tempat pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik boleh menjadi lokasi pembiakan lalat, tikus dan nyamuk yang membawa pelbagai penyakit. Keadaan tandas awam yang kotor pula bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah meningkatkan risiko penyebaran bakteria dan jangkitan kepada orang ramai.

“Rakyat Seri Menanti berhak menikmati persekitaran yang bersih, selamat dan sihat. Kemudahan awam yang berkualiti bukanlah satu kemewahan, sebaliknya merupakan keperluan asas yang wajib diberikan perhatian.

“Insya-Allah, jika diberikan peluang dan amanah, saya akan memperjuangkan penyelenggaraan yang lebih sistematik, memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa menjadi keutamaan serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Calon No. 3 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti itu berharap semangat kerjasama antara agensi kerajaan dengan masyarakat akan terus diperkukuh bagi memastikan kebersihan, kesejahteraan dan imej Pekan Ahad Tanjong Ipoh sentiasa terpelihara.

“Seri Menanti yang bersih ialah Seri Menanti yang sihat kerana perubahan bermula daripada perkara yang paling asas. Terima kasih kepada SWCorp Malaysia atas tindakan pantas demi keselesaan dan kepentingan rakyat,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles