UMNO Perlu Kukuhkan Parti, Kembalikan Keyakinan Rakyat – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati sempadan serta urusan dalaman masing-masing meskipun bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu adalah untuk mentadbir negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun masing-masing kekal sebagai entiti politik yang berasingan.

“Hal dalaman Pakatan Harapan, Pakatan Harapan uruskan. Hal dalaman Barisan Nasional, Barisan Nasional uruskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh, hari ini.

Menurut beliau, UMNO turut mengambil langkah memperkemaskan parti selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya lalu. Katanya, pergaduhan dalaman merupakan antara faktor yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap parti berkenaan.

Sehubungan itu, keputusan untuk menyusun dan menyatukan semula organisasi dibuat bagi memastikan wujud keserasian serta kesatuan dalam UMNO dan BN.

Mohd Razlan berkata, usaha tersebut dimulakan dengan membetulkan keadaan dalaman parti dan menyatukan barisan kepimpinan sebelum UMNO membuka semula pintunya kepada individu yang pernah meninggalkan atau mengkritik parti.

Beliau berkata, UMNO bersedia memaafkan dan menerima kembali mereka yang pernah tersilap langkah atau kata, termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, demi memperkukuh perjuangan parti.

Menurutnya, pencapaian BN dalam pilihan raya di Johor menunjukkan bahawa kesatuan organisasi mampu mengembalikan keyakinan pengundi.

“Kalau kita dapat menyatukan organisasi kita yang besar ini, orang akan memberikan keyakinan kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa konflik dalaman PH boleh memberi kesan kepada BN kerana kedua-dua gabungan berada dalam kerajaan yang sama. Bagaimanapun, katanya, BN selama ini tidak mencampuri pertikaian atau urusan dalaman rakan kerjasamanya itu.

Mohd Razlan turut mengaitkan prestasi lemah DAP dalam pilihan raya Sabah dengan kegagalan parti tersebut menangani sentimen serta masalah rakyat, termasuk isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Beliau mendakwa tindakan membangkitkan beberapa isu berkaitan kaum dan komuniti turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Justeru, katanya, BN perlu membuat keputusan berdasarkan kepentingan parti dan rakyat, di samping terus memperkukuh kedudukannya menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau menegaskan bahawa kesatuan dalaman, keupayaan mendengar masalah rakyat serta prestasi pentadbiran yang baik merupakan asas penting untuk BN mengembalikan sokongan masyarakat.

Mohd Razlan turut menyifatkan BN sebagai sebuah gabungan yang semakin dirindui rakyat dan yakin parti itu mampu kembali menjadi pilihan sekiranya seluruh organisasi terus bersatu.

BBerkaitan

Latest articles