ITC Perjelas Kekeliruan, Sijil Halal JAKIM Berbeza Dengan Pengiktirafan MFAR

KUALA LUMPUR: Islamic Tourism Centre (ITC) tampil menjelaskan kekeliruan berhubung perbezaan antara Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) susulan tular satu hantaran di media sosial.

ITC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menghargai hantaran berkenaan kerana membuka ruang untuk memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai fungsi kedua-dua pengiktirafan itu, sekali gus mengelakkan salah faham.

Menurut ITC, SPHM dan MFAR bukanlah pensijilan yang sama, sebaliknya saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di Malaysia.

SPHM yang dikeluarkan JAKIM memberi jaminan bahawa makanan, minuman dan produk yang ditawarkan mematuhi keperluan pensijilan halal Malaysia, manakala MFAR mengiktiraf produk serta perkhidmatan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti yang memenuhi garis panduan mesra Muslim.

ITC menjelaskan, bagi premis pelancongan yang menawarkan makanan dan minuman, pensijilan Halal Malaysia merupakan antara syarat yang perlu dipenuhi dalam proses mendapatkan pengiktirafan MFAR.

Menurut kenyataan itu lagi, ITC sentiasa bekerjasama rapat dengan JAKIM bagi memastikan pembangunan MFAR selari dengan ekosistem halal negara.

“Halal memberikan keyakinan terhadap makanan dan minuman, manakala MFAR memperkukuh keyakinan terhadap keseluruhan pengalaman pelancongan dan hospitaliti,” menurut kenyataan itu.

ITC turut menegaskan kekuatan ekosistem halal dan pelancongan mesra Muslim negara menjadi antara faktor Malaysia diiktiraf sebagai destinasi Pelancongan Mesra Muslim nombor satu dunia selama 11 tahun berturut-turut.

Jelasnya, gabungan pensijilan Halal Malaysia dan pengiktirafan MFAR terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor pelancongan mesra Muslim.

BBerkaitan

Latest articles