Imigresen Sabah Nafi Dakwaan Ramai Tahanan Filipina Meninggal Dunia Akibat Depot Sesak

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya sejumlah besar tahanan warga Filipina meninggal dunia akibat keadaan sesak di depot tahanan imigresen di negeri ini.

Pengarah Imigresen Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yussof, menegaskan maklumat yang disebarkan itu adalah palsu, tidak berasas serta boleh mengelirukan orang ramai.

Beliau turut menjelaskan gambar yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan bukan dirakam di mana-mana depot tahanan imigresen di bawah seliaan JIM Sabah.

Menurutnya, semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di depot tahanan imigresen di Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

Katanya, kebajikan setiap tahanan sentiasa diberi perhatian dengan penyediaan layanan serta perlindungan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

“Mereka turut menerima kemudahan asas termasuk makanan mengikut jadual yang ditetapkan dengan menu serta keperluan nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain akses kepada rawatan perubatan dan keperluan asas lain apabila diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sitti Saleha memaklumkan proses penghantaran pulang tahanan warga Filipina berdepan cabaran selepas pihak berkuasa Filipina menggantung operasi kapal dari Sandakan ke Zamboanga sejak Februari lalu.

Beliau berkata, laluan itu sebelum ini merupakan saluran utama bagi melaksanakan proses repatriasi tahanan ke negara asal.

Bagi memastikan proses berkenaan tidak terjejas sepenuhnya, JIM Sabah kini menggunakan laluan alternatif menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.

Bagaimanapun, jelasnya, penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu bergantung kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus memastikan aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan dipelihara, di samping melaksanakan proses repatriasi mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan dengan kerjasama pihak berkuasa Republik Filipina.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat serta gambar yang tidak disahkan kesahihannya, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles