Pahang Sasar Jadi Hab Agro Negara, Perhebat Pertanian Pintar Kurangkan Import Makanan

RAUB: Kerajaan Pahang menyasarkan negeri itu muncul sebagai hab agro utama negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian pintar bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu selari dengan Aspirasi Pahang 1st serta Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30) yang meletakkan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut beliau, cabaran global seperti perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik menjadikan keupayaan sesebuah negeri menghasilkan bekalan makanan sendiri sebagai keutamaan.

“Negeri yang benar-benar kukuh bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau jumlah pelaburan, sebaliknya kemampuan menjamin bekalan makanan kepada rakyat.

“Keterjaminan makanan kini menjadi agenda penting negara dan Pahang bersedia memainkan peranan lebih besar sebagai peneraju sektor agro,” katanya ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 di Dataran Raub, pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri memperluaskan penggunaan teknologi moden seperti dron, automasi, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) serta mekanisasi dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

Katanya, penerapan teknologi bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran makanan, malah membuka peluang menghasilkan produk bernilai tinggi yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

Wan Rosdy berkata, Pahang mempunyai kelebihan untuk menerajui sektor pertanian negara apabila muncul sebagai penyumbang kedua terbesar sektor itu pada 2024 dengan nilai pengeluaran melebihi RM25 bilion, manakala sektor pertanian menyumbang RM15.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

Menurutnya, pencapaian itu disokong oleh pengeluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands, industri kelapa sawit, durian Musang King Raub serta pembangunan sektor penternakan dan akuakultur.

Beliau turut menggesa lebih ramai golongan muda menceburi bidang agro moden yang kini didorong oleh teknologi dan inovasi, bukan lagi bergantung kepada kaedah tradisional.

“Kita mahu anak muda menjadi pencipta teknologi agro, pengeksport makanan dan usahawan bertaraf global, bukan sekadar pencari pekerjaan tetapi pencipta peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, MAHA Pahang bukan sekadar platform pameran, sebaliknya menjadi medan menghubungkan petani dengan teknologi, usahawan dengan pelabur serta ilmu dengan pengalaman.

Beliau berkata, penganjuran MAHA yang memasuki edisi kedua akan diteruskan secara bergilir di setiap daerah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat.

“Jika sesuatu program memberi manfaat kepada rakyat, tiada sebab untuk kita menghentikannya. Insya-Allah, tahun depan MAHA akan diadakan di Lipis supaya lebih ramai masyarakat Pahang dapat merasai manfaatnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles