Anwar Mahu Dasar Rumah Generasi Kedua FELDA Dimuktamadkan Dalam Sebulan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan dasar berkaitan pembinaan rumah untuk generasi kedua FELDA dimuktamadkan dalam tempoh kira-kira sebulan bagi membolehkan pelaksanaannya dipercepatkan di seluruh tanah rancangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu kertas cadangan akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi mendapatkan persetujuan semua kerajaan negeri terhadap pelaksanaan dasar berkenaan.

Menurut beliau, keputusan untuk melaksanakan projek itu telah dibuat, namun kejayaannya bergantung kepada kerjasama kerajaan negeri, khususnya dalam penyediaan tapak, bekalan air serta kemudahan asas.

“Dalam tempoh sebulan saya akan bentangkan kertas cadangan supaya ia menjadi keputusan dasar dan semua kawasan perumahan FELDA dibenarkan melaksanakan pembinaan rumah generasi kedua dengan segera.

“Keputusan sudah dibuat, cuma pelaksanaannya memerlukan kerjasama kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena sambutan 70 Tahun FELDA di Jalan Semarak, malam tadi.

Pada masa sama, Anwar mengarahkan pengurusan FELDA mengemukakan laporan kemajuan setiap bulan bagi memastikan semua inisiatif yang diumumkan tidak terus mengalami kelewatan.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu rakyat terus menunggu pelaksanaan sesuatu pengumuman sehingga menimbulkan rasa kecewa.

Pada 7 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan tujuh inisiatif sempena ulang tahun ke-70 FELDA, termasuk penyelesaian isu rumah generasi kedua, pindaan Akta FELDA, pembinaan rumah kakitangan, pemerkasaan digital serta peruntukan untuk sekolah dan pembangunan komuniti peneroka.

Antara cadangan utama ialah membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas lot peneroka menerusi pindaan dasar dan perundangan, sekali gus menyelesaikan isu penempatan generasi kedua FELDA yang berlarutan sejak sekian lama.

Anwar sebelum ini turut memaklumkan pindaan Akta FELDA dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun, namun beberapa inisiatif boleh dilaksanakan lebih awal menerusi kerjasama kerajaan negeri sementara menunggu pindaan undang-undang diluluskan.

BBerkaitan

Latest articles