Tiada Perbincangan Bubar Parlimen, Kata Fahmi

ROMPIN: Kerajaan menegaskan tiada sebarang perbincangan di peringkat pentadbiran Persekutuan berhubung kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada hujung tahun ini seperti yang diperkatakan beberapa pihak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tumpuan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah memastikan kestabilan negara serta memperkukuh ekonomi, bukannya membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum.

“Setakat ini kita tidak membincangkan apa-apa mengenai PRU16. Pilihan raya masih boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wayang pacak di Pekan Rompin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini menjangkakan Parlimen mungkin dibubarkan seawal penghujung tahun ini sekiranya Perdana Menteri merasakan keadaan sesuai.

Mohamad yang juga Menteri Luar membuat kenyataan itu ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Rantau, selain mengesahkan hasratnya mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU16.

Mengulas lanjut, Fahmi menyifatkan kenyataan Mohamad itu sebagai pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Saya melihat itu sekadar pandangan Mohamad,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Anwar turut menolak cadangan supaya PRU16 diadakan lebih awal dengan menegaskan kerajaan memerlukan ruang dan masa untuk melaksanakan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Mengikut tempoh semasa, PRU16 hanya perlu diadakan sebelum tamat penggal Parlimen, namun kebelakangan ini timbul spekulasi mengenai kemungkinan pilihan raya umum dipercepatkan susulan hubungan yang dilihat semakin tegang antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun kedua-duanya membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Situasi itu turut menjadi perhatian ketika kempen PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan BN menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa penyertaan Bersatu.

BBerkaitan

Latest articles