SHAH ALAM: Seorang penuntut wanita berusia belasan tahun ditahan polis selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang ditemukan di sebuah rumah sampah di blok asrama sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah Kuala Langat, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 12.20 tengah malam daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan penemuan mayat bayi berkenaan dalam keadaan dibalut dengan kain.
Menurut beliau, hasil siasatan awal membawa kepada penahanan seorang penuntut wanita yang dipercayai merupakan ibu kepada bayi tersebut.
“Suspek telah dikenal pasti dan ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Suspek merupakan seorang penuntut wanita berusia belasan tahun yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan melupuskan mayat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.










