JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memuat naik hantaran di Facebook yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap agama Islam.
Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang diterima pada jam 12.38 tengah malam, 24 Julai lalu berhubung satu hantaran yang tular di media sosial.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati akaun Facebook menggunakan nama “Fadzil Zahari” telah berkongsi beberapa tangkap layar yang didakwa dimuat naik oleh pemilik akaun “Parthiban Ragu”, mengandungi kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Islam, termasuk ungkapan yang didakwa menghina Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan suspek di sekitar Iskandar Puteri pada kira-kira jam 1 pagi, hari ini.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis turut merampas dua telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Johor Bahru sebelum dibenarkan direman selama empat hari bermula 25 hingga 28 Julai bagi melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ab Rahaman mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah supaya menghubungi balai polis berhampiran, Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-2212999.










