AMPANGAN: Perikatan Nasional (PN) melancarkan Manifesto Sepakat Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menampilkan 14 tawaran tambahan berteraskan enam fokus utama demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, enam teras berkenaan merangkumi bidang pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan.
Beliau berkata, tawaran yang dirangka itu adalah berasaskan realiti dan kemampuan kewangan negeri bagi memastikan setiap janji yang dimeteraikan dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab.
”Setiap tawaran yang kita kemukakan telah dirangka secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kemampuan sebenar kewangan kerajaan negeri, mengoptimumkan hasil dan perbelanjaan sedia ada, serta memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional PRN Negeri Sembilan di Kompleks PAS Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ampangan, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai enam teras berkenaan, Ahmad Samsuri menjelaskan bagi teras pentadbiran, PN berikrar membangunkan ‘Papan Pemuka Pelaksanaan Manifesto Negeri Sembilan’ bagi memantau pencapaian tawaran secara berkala serta menambah baik pengurusan masjid yang lebih mesra kariah.
Bagi teras belia dan keluarga, tawaran merangkumi penyediaan rumah transit bagi graduan dan pasangan baharu berkahwin serta pelaksanaan Program Pemerkasaan Keluarga Mawaddah.
Manakala bagi teras ekonomi, fokus diberikan kepada penerokaan Pelan Ekonomi Biru Negeri Sembilan, penaiktarafan infrastruktur sokongan industri gas dan minyak, serta pakej pelaburan baharu dalam sektor mineral kritikal, semikonduktor, angkasa lepas, kenderaan elektrik, logistik dan ekonomi digital.
Bagi teras kebajikan, PN menawarkan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat bersasar kepada golongan B40 dan M40 berpendapatan rendah serta penyaluran dana sokongan khas kebajikan dan hal ehwal bukan Islam.
Seterusnya dalam teras pendidikan, tawaran merangkumi penaiktarafan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemerkasaan Sekretariat TVET Negeri melalui program Tahfiz TVET, serta bantuan persijilan profesional kepada graduan anak negeri.
Bagi teras pekerjaan, PN bercadang menubuhkan Perbadanan Bakat Negeri Sembilan (NTC) sebagai pusat pembangunan bakat masa depan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, keselamatan siber dan automasi, selain menubuhkan Pusat Padanan Pekerjaan Negeri Sembilan bagi sektor pelancongan dan industri.
Ahmad Samsuri berkata, gabungan itu komited untuk membawa anjakan paradigma dan perubahan pentadbiran yang telus, berintegriti serta berteraskan kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada pilihan raya negeri ini.










