Tak Sekadar Berkempen, Megat D. Shahriman Sertai Penduduk Bersihkan Kampung Juar

SERI MENANTI – Tidak sekadar berkempen, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Datuk Seri Megat D. Shahriman turun membantu penduduk Kampung Juar membersihkan runtuhan pokok selain menyantuni masyarakat menerusi Program Ziarah Kasih dari rumah ke rumah.

Megat berkata, program tersebut memberi peluang kepadanya melihat sendiri keadaan di lapangan selain mendengar pandangan, keluhan dan keperluan penduduk secara terus.

Menurutnya, pendekatan turun padang penting bagi memastikan setiap isu yang dihadapi masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat, sekali gus memudahkan usaha mencari penyelesaian yang bersesuaian.

“Program ini memberi peluang kepada saya bertanya khabar penduduk, menyantuni mereka serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat.

“Pada masa sama, saya dapat melihat sendiri keadaan di lapangan agar setiap isu yang dibangkitkan dapat diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di media Sosialnya hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja membersihkan runtuhan pokok yang dilaksanakan secara bergotong-royong mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan kerjasama dalam kalangan penduduk dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.

Katanya, budaya saling membantu seperti itu perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas kepada sebuah masyarakat yang bersatu padu dan prihatin terhadap persekitaran.

Sehubungan itu, Megat merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan serta pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.

“Semoga semangat kebersamaan, sikap saling membantu dan ukhuwah yang terjalin akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles