Sanusi Digesa Perjelas Kenyataan Ceramah, DAP Diperingat Jangan Hipokrit Isu Perkauman – MCA

​KUALA LUMPUR: MCA mendesak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil membuat penjelasan secara jelas dan segera berhubung kenyataannya dalam satu ceramah baru-baru ini sekiranya ia telah tersalah tafsir sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

​Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perbincangan awam mestilah adil dan berdasarkan konteks sebenar ucapan berkenaan, namun sebarang kenyataan yang boleh mempersoalkan kesetiaan serta rasa memiliki (sense of belonging) mana-mana rakyat Malaysia wajar dielakkan.

​”Kenyataan yang dikaitkan dengan Muhammad Sanusi sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina. Ia tidak membantu perpaduan nasional sebaliknya mewujudkan kekeliruan.

​”Sekiranya kenyataan beliau telah disalah faham atau ditafsir secara tidak tepat, beliau sepatutnya memperjelas kenyataannya dengan segera bagi meredakan ketegangan yang tidak diperlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

​Pada masa sama, Dr Wee turut menempelak cubaan DAP yang mahu menggambarkan parti itu sebagai pelindung tunggal masyarakat Cina, sedangkan DAP sendiri didakwa sering menggunakan retorik perkauman dan agama demi kepentingan politik mereka.

​Beliau memberi contoh kenyataan berbaur sentimen yang pernah dikeluarkan oleh penceramah DAP Hew Kuan Yau serta Naib Presiden DAP Nga Kor Ming sebelum ini yang pernah dikritik hebat kerana menghina kaum dan agama tertentu.

​”DAP tidak perlu bersikap ‘hipokrit’ (selective outrage) dan melakukan drama politik. MCA sedia menganjurkan tayangan peribadi rakaman ucapan-ucapan berkenaan bagi sesiapa yang sengaja buat-buat lupa,” katanya.

​Dr Wee menegaskan MCA kekal konsisten menolak sebarang bentuk retorik perkauman dari mana-mana pihak, sama ada rakan mahupun lawan politik, sambil menyeru agar fokus diberikan kepada usaha memperkukuh perpaduan serta menangani cabaran ekonomi rakyat.

BBerkaitan

Latest articles