Ucapan Sanusi Dimainkan Di Luar Konteks, Tidak Bangkit Isu Perkauman – Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu kaum dan kerakyatan baru-baru ini telah diputar belit di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran yang salah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata setelah mendengar keseluruhan ucapan berkenaan, jelas tidak timbul sebarang isu yang sengaja mengguris hati atau mempertikaikan kesetiaan dan status kerakyatan kaum-kaum lain di Malaysia.

“Sanusi tidak pun menyebut atau mempertikai soal kesetiaan, kerakyatan atau kewarganegaraan rakyat Malaysia yang lain.

“Ucapannya adalah dalam konteks perlukah orang Melayu bersatu padu mempertahankan tanah airnya iaitu satu-satunya tanah asal (ancestral land) mereka. Ia bersifat mendorong sentimen nasionalisme hubbul watan (cintakan tanah air) orang Melayu, tidak lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia menjelaskan, pemahaman mengenai tanah asal turun-temurun wujud di seluruh dunia seperti England bagi orang Inggeris atau Scotland bagi orang Scottish, meskipun sesetengah daripada mereka telah menjadi warganegara di negara lain.

Menurut beliau, dakwaan seolah-olah Sanusi mempertikaikan kesetiaan kaum lain adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan untuk menimbulkan kebencian.

Mengulas mengenai hubungan kaum dan sejarah negara, Annuar menegaskan bahawa PAS dan UMNO merupakan antara parti yang telah wujud sebelum merdeka serta memainkan peranan penting dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak masyarakat majmuk.

“PAS dan UMNO telah menjadi parti yang memerintah rakyat pelbagai kaum sejak puluhan tahun. Tiada fahaman perkauman sempit dalam UMNO dan PAS.

“Sebaliknya, parti-parti baru pasca-1965 yang mula menimbulkan bibit perkauman yang ditiup secara halus dan kesannya terdapat hingga sekarang,” katanya.

Beliau menambah, seruan supaya orang Melayu bersatu padu dan mencintai tanah air perlu diteruskan kerana penyatuan orang Melayu merupakan teras utama kepada kestabilan dan keamanan negara yang turut memberi manfaat kepada semua kaum.

Justeru, beliau menyatakan keyakinan bahawa rakyat dan warganegara majmuk di negara ini akan kekal hidup dalam keadaan damai dan harmoni di bawah kepimpinan parti-parti berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles