​KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu kaum dan kerakyatan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi memecah-belahkan rakyat berbilang kaum di negara ini.
​Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, retorik yang dilontarkan oleh Sanusi memberikan gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, manakala hanya orang Melayu benar-benar memiliki negara ini.
​”Hakikatnya, bagi jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India, Malaysia bukan tempat persinggahan. Malaysia ialah tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
​Kenyataan beliau merujuk kepada dakwaan Sanusi sebelum ini yang menyatakan bahawa “Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia”.
​Mengulas lanjut, Azalina menegaskan bahawa dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semua pemimpin dan jentera politik wajib bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan.
​Beliau memberi amaran bahawa isu-isu sensitif yang menyentuh kaum, agama dan institusi diraja (3R) tidak sepatutnya dijadikan alat politik semata-mata untuk membangkitkan kemarahan atau ketakutan demi meraih undi.
​Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan hak yang seimbang untuk semua warganegara.
​”Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera.
“Perlembagaan yang sama turut menjamin hak dan kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan.
​”Setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah,” jelasnya.
​Azalina menambah, Barisan Nasional (BN) memegang prinsip sebagai ‘rumah bersama’ bagi seluruh rakyat Malaysia dan tidak memerlukan taktik politik yang menakut-nakutkan untuk memperoleh sokongan.
​Sebaliknya, BN menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan serta fokus kepada isu utama rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan setempat.










