Malaysia Kecam Pencerobohan Lebih 4,200 Pelampau Yahudi Di Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan lebih 4,200 pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim Zionis, yang menceroboh Kompleks Masjid Al-Aqsa di bawah kawalan dan perlindungan tentera Israel pada Khamis lalu.

Kementerian Luar menerusi Wisma Putra berkata, insiden itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain mencabuli status quo sejarah dan perundangan yang mengawal selia kawasan suci berkenaan.

Menurut Wisma Putra, tindakan provokatif itu adalah sebahagian daripada siri pelanggaran berterusan yang dilakukan rejim Zionis di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, dengan tujuan mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, kedudukan undang-undang dan demografi kawasan tersebut.

“Tindakan itu bukan sahaja menggugat keamanan dan kestabilan serantau, malah mengabaikan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam masa sama, Malaysia menegaskan pendirian teguh untuk terus berdiri bersama rakyat Palestin serta mempertahankan hak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak menentukan nasib sendiri.

Wisma Putra turut mengulangi sokongan Malaysia terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

BBerkaitan

Latest articles