Anwar: Malaysia Tak Mampu Jadi Negara Hebat Jika Politik Kebencian Terus Berakar

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa Malaysia tidak akan mampu muncul sebagai sebuah negara maju dan disegani sekiranya rakyat terus terperangkap dengan budaya politik kebencian serta pemikiran sempit yang memecahbelahkan masyarakat.

Beliau berkata, generasi muda perlu menjadi pemacu perubahan dengan menolak fahaman perkauman dan politik yang berasaskan kebencian, sebaliknya berganding bahu membina negara yang lebih bersatu dan berdaya saing.

“Malaysia tidak mungkin menjadi negara hebat jika kita masih terperangkap dengan pemikiran lapuk yang menanam kebencian antara satu sama lain. Anak-anak muda mesti bangkit sebagai satu pasukan besar untuk membawa perubahan dan mengangkat martabat seluruh rakyat,” katanya ketika merasmikan kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

Menurut Anwar, Kerajaan MADANI memilih pendekatan dialog serta dasar yang inklusif bagi menyelesaikan isu membabitkan semua lapisan masyarakat, bukannya mengapi-apikan sentimen kebencian demi kepentingan politik.

Beliau berkata, masa depan negara bergantung kepada kesungguhan anak muda memperkukuh ilmu, meningkatkan kemahiran dan mengekalkan disiplin, selain bekerjasama untuk melonjakkan kedudukan Malaysia di peringkat serantau serta antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda memanfaatkan pelbagai peluang latihan kemahiran yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan pendapatan mereka.

Anwar berkata, menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp, kerajaan terus memperluaskan program latihan termasuk reskilling dan upskilling bagi membantu rakyat memperoleh pekerjaan lebih berkualiti serta pendapatan yang lebih baik.

Beliau turut menggalakkan peserta NTW 2026 memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan dengan meneroka pelbagai kursus latihan yang ditawarkan selain mengemukakan cadangan bagi memperkukuh pembangunan modal insan negara.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan kukuh meskipun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global hasil pelaksanaan reformasi ekonomi dan pelbagai langkah kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Katanya, prestasi ekonomi negara turut disokong oleh beberapa pencapaian memberangsangkan termasuk ringgit yang muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negara serta pertumbuhan ekonomi yang terus menggalakkan.

BBerkaitan

Latest articles