PH Mampu Capai Kemenangan 23 Kerusi Jika Sentimen Pengundi Berubah Drastik

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berpeluang mencapai sasaran memenangi 23 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun ia bergantung kepada perubahan ketara dalam sentimen pengundi, khususnya pengundi Melayu.

Penganalisis politik berpandangan, sasaran diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu bukan sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan gelombang sokongan baharu yang jauh lebih besar berbanding corak sokongan semasa.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sasaran berkenaan dilihat sebagai strategi untuk menyuntik semangat penyokong serta menggerakkan jentera pilihan raya PH sepanjang tempoh berkempen.

Bagaimanapun, menurutnya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), tanpa penyertaan Bersatu, menjadikan laluan PH lebih mencabar, terutama di beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti tipis pada PRN 2023.

Beliau berkata, lapan kerusi berkenaan ialah Juasseh, Kota, Seri Menanti, Sungai Lui, Palong, Senaling, Lenggeng dan Jeram Padang yang masing-masing dimenangi BN dengan majoriti kurang daripada 700 undi ketika itu.

“Jika PH mampu mengekalkan penguasaan di 17 kerusi yang dimenanginya sebelum pembubaran DUN, sasaran 23 kerusi masih boleh dicapai, namun ia memerlukan perubahan sentimen pengundi yang jauh lebih besar daripada keadaan semasa.

“Berdasarkan pola sokongan ketika ini, sasaran itu masih dianggap sangat mencabar,” katanya.

Hisommudin menjelaskan, faktor utama yang akan menentukan kejayaan PH ialah keupayaannya menambah sokongan pengundi Melayu tanpa kehilangan sokongan tradisi daripada pengundi bukan Melayu.

Sebelum ini, Anthony Loke menyatakan PH menyasarkan kemenangan di 23 kerusi DUN pada PRN 1 Ogos depan bagi memperoleh majoriti yang lebih selesa untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil sepanjang penggal akan datang.

Sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan, PH menguasai 17 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, iaitu dua kerusi kurang daripada jumlah minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

BBerkaitan

Latest articles