Didakwa Pijak ‘Soolam’ Kuil Hindu, Aktivis Mengaku Tidak Bersalah

LANGKAWI: Seorang aktivis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Langkawi hari ini atas pertuduhan merosakkan objek suci agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah, pada Mac lalu.

Tertuduh, Tamim Dahri Abdul Razak, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin.

Berdasarkan pertuduhan, Tamim didakwa merosakkan tombak cabang tiga atau soolam di tapak lama kuil berkenaan antara jam 3.30 petang hingga 6.30 petang pada 8 Mac lalu dengan mengetahui bahawa perbuatan memijak objek tersebut boleh dianggap sebagai menghina agama Hindu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ain Nur Sofea Noridan, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan bagi mengelakkan risiko melarikan diri serta memastikan kehadirannya sepanjang perbicaraan.

Bagaimanapun, Hanif membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 295 merupakan kesalahan yang boleh dijamin.

Beliau turut memaklumkan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan pulang ke Malaysia dan menyerah diri secara sukarela, selain bersedia menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis mengikut syarat yang ditetapkan.

Mahkamah kemudian membenarkan Tamim diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia. Selain itu, tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan polis memohon pengeluaran Notis Merah Polis Antarabangsa bagi mengesan Tamim selepas dia gagal dikesan susulan kejadian itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, semakan mendapati tertuduh meninggalkan negara sejurus insiden pada 8 Mac sebelum kembali ke Malaysia dan menyerah diri kepada polis minggu lalu.

BBerkaitan

Latest articles