Zahid Tegaskan Kuasa Pecat Menteri Hak Mutlak PM, Tiada Keperluan Letak Jawatan Sendiri

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk menggugurkan seseorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan daripada jawatan adalah hak mutlak Perdana Menteri dan bukannya bergantung kepada tindakan individu berkenaan meletakkan jawatan.

Menurut beliau, sekiranya Perdana Menteri mempunyai maklumat yang sahih atau mengesyaki berlaku pelanggaran disiplin dalam kalangan anggota pentadbiran, tindakan lanjut boleh diambil berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada beliau.

“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri mengesyaki atau memperoleh maklumat yang benar, maka tindakan itu berada di bawah kuasa mutlak beliau dan tidak perlu sesiapa pun meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas amaran yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini kepada semua menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Anwar dilaporkan menegaskan bahawa mana-mana anggota pentadbiran yang didapati berbuat demikian boleh diminta berundur daripada jawatan masing-masing.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid sekali lagi menekankan bahawa urusan pelantikan dan pemecatan anggota pentadbiran merupakan prerogatif Perdana Menteri.

“Itu prerogatif Perdana Menteri,” katanya ringkas.

BBerkaitan

Latest articles