KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pengunjung yang meninggalkan timbunan sampah di Dataran Merdeka selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, awal pagi Isnin.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan tindakan membuang sampah sesuka hati di lokasi awam sebagai satu sikap yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan.
“Negara kita dah merdeka hampir 70 tahun. Semua orang ada pergi sekolah. Tolong tanya, sampai bila kita nak belajar erti jaga kebersihan?
“Sampai hati buang sampah merata tempat dan tanpa segan silu? Sedih, saya berasa sangat sedih,” katanya.
Kor Ming berkata, menjaga kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan kesedaran serta disiplin setiap individu yang menggunakan kemudahan awam.
Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan operasi pembersihan dijalankan sejurus acara tamat selepas kawasan Dataran Merdeka dipenuhi sampah yang ditinggalkan pengunjung.
Lebih 25,000 penyokong bola sepak membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0.
Keadaan kawasan yang dipenuhi botol minuman, bekas makanan dan pelbagai jenis sisa selepas acara berakhir turut mengundang kritikan orang ramai di media sosial yang menggesa masyarakat lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan tempat awam.










