KUALA LUMPUR: Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak ditahan semula sejurus tamat tempoh reman dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini bagi membantu siasatan dalam satu lagi kes, kali ini mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, penahanan baharu itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi sebaik sahaja tempoh reman suspek berakhir.
Menurut beliau, sebelum ini Tamim Dahri ditahan pada 18 Julai lalu di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, suspek kemudian direman selama dua hari bermula semalam sebelum ditahan semula berhubung satu laporan polis yang dibuat di Kuah.
“Suspek ditahan semula berkaitan laporan polis Kuah bernombor 2875/26 yang disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Waran tangkap telah berjaya disempurnakan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi esok untuk tujuan pertuduhan mengikut seksyen berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Tamim Dahri pernah didakwa secara in absentia di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac lalu selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.










