‘Kalau Argentina Kalah, Isteriku Tertalak Tiga’ – Bekas Mufti Tegaskan Lafaz Bersyarat Boleh Jatuh Talak, Pasangan Diminta Segera Ke Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Pasangan yang tular selepas dikaitkan dengan isu lafaz talak bersyarat susulan keputusan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 disaran segera mendapatkan pengesahan di Mahkamah Syariah atau pejabat agama bagi memastikan kedudukan perkahwinan mereka diputuskan mengikut hukum syarak dan undang-undang.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan bahawa menurut pandangan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali, talak yang digantungkan pada sesuatu syarat akan berkuat kuasa apabila syarat tersebut benar-benar berlaku.

Beliau berkata, sekiranya seseorang melafazkan, “Kalau Argentina kalah, isteriku tertalak tiga,” dan pasukan itu benar-benar tewas, maka talak tersebut dianggap jatuh berdasarkan pandangan majoriti ulama.

Dalam hantaran di Threads pada Isnin, Zulkifli turut mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh memandang ringan lafaz yang melibatkan talak, walaupun ia diucapkan secara berseloroh atau ketika bergurau.

Menurutnya, hanya beberapa patah perkataan yang dilafazkan tanpa berfikir boleh membawa implikasi besar sehingga mengubah keseluruhan kehidupan sesebuah keluarga.

Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW bahawa terdapat tiga perkara yang tetap dianggap serius sama ada diucapkan dengan niat sebenar mahupun secara bergurau, iaitu nikah, talak dan rujuk.

Justeru, beliau menegaskan setiap mukmin wajib menjaga percakapan dan tidak menjadikan lafaz talak sebagai bahan gurauan, cabaran atau pertaruhan dalam apa juga keadaan.

Mengulas lanjut, beliau sekali lagi menasihatkan pasangan yang berdepan situasi sedemikian supaya segera merujuk kepada Mahkamah Syariah atau pejabat agama bagi mendapatkan pengesahan status perkahwinan serta penyelesaian mengikut hukum syarak.

Terdahulu, media sosial kecoh dengan kisah seorang lelaki yang didakwa menjadikan lafaz talak sebagai taruhan ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 membabitkan Argentina dan Sepanyol.

Menerusi hantaran dimuat naik oleh pengguna Threads, Raudhah.24, seorang wanita mendakwa suaminya melafazkan talak tiga selepas Argentina tewas kepada Sepanyol.

Berdasarkan perkongsian itu, suami terbabit dikatakan membuat pertaruhan dengan rakannya bahawa isterinya akan diceraikan dengan talak tiga sekiranya Argentina kalah dalam perlawanan tersebut, sekali gus mencetuskan perdebatan dan kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial.

BBerkaitan

Latest articles