SEREMBAN: Isu pembangunan kawasan perbandaran lama bakal menjadi fokus utama calon BERSATU bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Ketua Penerangan BERSATU itu berkata, parti berkenaan tampil dengan tawaran pembaharuan dan pembelaan kepada penduduk Sikamat yang berdepan pelbagai isu berkaitan pembangunan, penyelenggaraan serta peluang ekonomi.
Menurutnya, kawasan perbandaran lama yang tidak diberi perhatian sewajarnya berisiko terus ketinggalan dan memerlukan pendekatan baharu bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi setempat.
“Isu di Sikamat banyak berkaitan perbandaran lama dan penyelenggaraan. Perbandaran lama ini boleh menjadi tidak berkembang dan memerlukan idea baharu bersama kegiatan ekonomi.
“Sekiranya ia tidak diatasi, yang menjadi mangsa adalah golongan muda kerana terpaksa keluar dari kawasan bagi mencari pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights, hari ini.
Selain aspek pembangunan, Tun Faisal berkata, isu keselamatan dan kehadiran pendatang asing juga perlu diberi perhatian serius kerana sehingga kini tiada penyelesaian menyeluruh dilaksanakan.
“Selama ini, tidak nampak ada pendekatan yang tuntas menguruskan isu berkenaan termasuk soal keselamatan dan lain-lain,” katanya.
Mengulas penyertaan BERSATU pada PRN Negeri Sembilan, beliau menyifatkan keputusan parti bertanding di 24 kerusi sebagai langkah yang signifikan bagi menawarkan pilihan baharu kepada rakyat.
Katanya, BERSATU yakin mampu muncul sebagai alternatif kepada parti-parti sedia ada selepas Negeri Sembilan sebelum ini pernah ditadbir Barisan Nasional (BN) dan kemudiannya Pakatan Harapan (PH).
“Kita masuk (bertanding) bukan dalam jumlah kecil kerana kita percaya BERSATU boleh menjadi alternatif lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).
“Sebelum ini, kerajaan negeri pernah ditadbir BN dan selepas itu PH. Yang belum pernah mentadbir adalah BERSATU serta PN. Jadi kita percaya pemimpin kita boleh membawa cadangan dan tawaran baharu kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.










