Faizal Anggap Saingan Di Linggi Sengit, Seru Kempen Matang Tanpa Provokasi

LINGGI, — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Muhammad Faizal Ramli, menyifatkan pertandingan di kerusi itu sebagai satu cabaran besar susulan berdepan lawan yang mempunyai pengalaman dalam politik.

Beliau berkata, meskipun mengakui pencabarnya seorang tokoh yang berpengalaman, BN sudah memulakan gerak kerja lebih awal dan kini akan memperhebat kempen selepas proses penamaan calon selesai.

“Saya telah diberi amanah untuk mewakili BN mempertahankan kerusi DUN Linggi. Ini satu cabaran yang cukup besar kerana calon yang bertanding menentang saya juga seorang yang hebat.

“Kita terbuka menerima sesiapa sahaja yang bertanding kerana ini adalah sebuah negara demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di sini, hari ini.

Faizal yang dicabar mantan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (PH), dan Dato’ Zamri Mat Said (Bersatu) itu turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mengendalikan proses penamaan calon dengan lancar dan teratur walaupun dihadiri penyokong yang ramai.

Beliau berkata, jentera BN yang merangkumi UMNO, MCA, MIC serta rakan komponen lain akan terus digerakkan bagi memastikan sokongan pengundi kekal bersama gabungan itu.

Menurutnya, fokus kempen bukan sahaja mengekalkan penyokong sedia ada, malah berusaha menarik sokongan pengundi atas pagar yang disifatkan sebagai penentu kemenangan.

“Kita akan turun padang seperti biasa, mengadakan ceramah dan program santai untuk mendekati rakyat. Pada masa sama, kita akan berusaha meraih sokongan pengundi atas pagar kerana mereka boleh menentukan keputusan pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai janji kepada pengundi, Faizal berkata beliau lebih selesa memberi komitmen untuk bekerja bersungguh-sungguh berbanding membuat janji yang sukar ditunaikan.

“Saya tidak mahu membuat terlalu banyak janji. Apa yang saya boleh janjikan ialah saya akan bekerja kuat untuk rakyat dan memastikan amanah ini dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menjalankan kempen secara matang dan berhemah sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Di Linggi, walaupun berbeza fahaman politik, kita tetap hidup dalam komuniti yang sama. Apabila ada kenduri, kematian atau majlis masyarakat, kita tetap bertemu.

“Sebab itu saya berharap semua penyokong menjaga adab, mengelakkan provokasi dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti mana-mana pihak,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles