TAMPIN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara penyandangnya, Ridzuan Ahmad dan dua calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kali ini.
Ridzuan, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya lalu atas tiket Perikatan Nasional (PN), kini kembali mempertahankan mandatnya di bawah bendera Parti Wawasan (WAWASAN) namun kekal mewakili gabungan PN.
Beliau bakal dicabar oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Azman Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH), Siti Aishah Seman @ Othman.
Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon, Fadhil Hassan mengumumkan senarai calon yang bertanding sejurus tamat proses penamaan calon di pusat penamaan calon di sini, hari ini.
Terdahulu, suasana di luar pusat penamaan calon meriah dengan kehadiran kira-kira 200 penyokong PN yang mengiringi Ridzuan, manakala Siti Aishah pula diiringi kepimpinan tertinggi PH termasuk Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong bersama sekitar 200 penyokong gabungan itu.
Azman pula hadir ke pusat penamaan calon dengan hanya diiringi oleh dua orang pencadangnya.
Pada pilihan raya sebelum ini, Ridzuan memenangi kerusi DUN Gemas dengan majoriti 3,120 undi selepas memperolehi 11,653 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abd. Razak Ab. Said.
Beliau bagaimanapun bertindak keluar daripada Bersatu baru-baru ini untuk menyertai WAWASAN.
Sementara itu, dua lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Tampin iaitu Gemencheh dan Repah masing-masing bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu.
Di DUN Gemencheh, penyandang kerusi, Suhaimizan Bizar daripada BN akan mempertahankan kawasan itu menentang cabaran calon PH, Abd. Latif A. Tambi.
Bagi DUN Repah pula, penyandangnya daripada PH, S. Veerapan, bakal ditentang oleh calon BN, Koh Kim Swee.










