Asyraf: Kerjasama BN-PN Demi Kestabilan N. Sembilan, Fokus Sapu Bersih 36 Kerusi DUN

JEMPOL: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah penting bagi menjamin kestabilan politik negeri, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, keutamaan kedua-dua gabungan itu kini adalah memastikan kemenangan di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, selain menawarkan pentadbiran terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, kempen yang dijalankan perlu berteraskan pendekatan berhemah dengan memberi tumpuan kepada tawaran dan agenda untuk kesejahteraan rakyat, bukannya menyerang pihak lawan.

“Yang paling utama ialah kita mempunyai persefahaman untuk memastikan kemenangan di semua kerusi. Kempen juga perlu dijalankan secara berhemah dengan menampilkan apa yang mampu kita tawarkan kepada rakyat.

“Seperti di Johor, kita mahu memberikan yang terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan dan asas paling penting ialah kestabilan politik,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol sempena proses penamaan calon bagi DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau, hari ini.

Asyraf turut menegaskan kerjasama melibatkan parti-parti teras Melayu dan Islam itu tidak mengetepikan hakikat bahawa Negeri Sembilan merupakan negeri berbilang kaum dan agama, justeru pendekatan inklusif perlu terus menjadi keutamaan.

Sementara itu, di DUN Palong, penyandang kerusi daripada BN, Datuk Mustapha Nagoor, bakal berdepan saingan tiga penjuru apabila dicabar Zahin Zinal Abidin (Pakatan Harapan) dan Rebin Birham (Bersatu).

Di DUN Jeram Padang pula, BN sekali lagi mempertaruhkan penyandangnya, Datuk Zaidy Abdul Kadir, yang akan bersaing dengan G. Manivannan (PH), R. Sri Sanjeevan (Bersatu) serta Dayana Dal daripada Parti Asli.

Bagi DUN Bahau, calon MCA mewakili BN, Chong Fui Ming, akan mencabar penyandang daripada PH, Teo Kok Seong, dalam persaingan satu lawan satu.

BBerkaitan

Latest articles