SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan senarai 24 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus menyaksikan pertembungan dengan dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi pengumuman itu, Bersatu yang memilih bertanding menggunakan lambang parti sendiri bakal berdepan PAS di empat kerusi iaitu Serting, Ampangan, Paroi dan Bagan Pinang.
Selain itu, parti berkenaan turut akan bersaing dengan Parti Wawasan Negara di empat lagi kerusi membabitkan Klawang, Sikamat, Mambau dan Gemas.
Bagaimanapun, tiada pertembungan melibatkan Bersatu dengan Gerakan mahupun Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Antara nama yang diberi perhatian ialah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang diletakkan di kerusi DUN Sikamat, manakala R. Sri Sanjeevan akan bertanding di Jeram Padang dan Mohamad Hanifah Abu Baker di Labu.
Turut disenaraikan ialah bekas Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Megat D. Shahriman Zaharudin yang akan bertanding di DUN Seri Menanti.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy memaklumkan dua ahli parti itu akan bertanding atas tiket Bersatu, masing-masing N. Sarawanan di DUN Mambau dan R. Mahendran di DUN Seremban Jaya.
PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos.
Senarai penuh calon Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan:
* N2 Pertang – Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus
* N3 Sungai Lui – Mazrulhisham Abd Mansor
* N4 Klawang – Muhammad Adib Musa
* N5 Serting – Muhammad Noraffendy Mohd Salleh
* N6 Palong – Rebin Birham
* N7 Jeram Padang – R. Sri Sanjeevan
* N9 Lenggeng – Zool Amali Hussin
* N10 Nilai – V. Saravan Kumar
* N12 Temiang – Fazly Hamid
* N13 Sikamat – Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
* N14 Ampangan – Noor’azah Harun
* N15 Juasseh – Mohd Zuhaimi Md Yusof
* N16 Seri Menanti – Datuk Megat D. Shahriman Zaharudin
* N17 Senaling – Mohd Izaffi Istear Khan
* N20 Labu – Mohamad Hanifah Abu Baker
* N22 Rahang – Tang Jay Son
* N23 Mambau – N. Sarawanan (Urimai)
* N24 Seremban Jaya – R. Mahendran (Urimai)
* N25 Paroi – Mohd Nazree Mohd Yunus
* N28 Kota – Akmal Noradzmi Abd Rahim
* N31 Bagan Pinang – Sheikh Junaidy Jamaludin
* N32 Linggi – Zamri Md Said
* N33 Sri Tanjung – M. Leevineshwaraan
* N34 Gemas – Fadil Daud.










