AI Berdaulat Kunci Masa Depan Digital Malaysia, YTL Sifatkan Keupayaan Sendiri Penentu Daya Saing Negara

KUALA LUMPUR: Keupayaan membangunkan kecerdasan buatan (AI) secara berdaulat atau sovereign AI dilihat menjadi faktor penting bagi memastikan Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi asing, sekali gus mampu mengawal pembangunan, penggunaan dan hala tuju AI mengikut kepentingan negara sendiri.

Konsep AI berdaulat bukan bermaksud menolak teknologi luar, sebaliknya memberi penekanan kepada penguasaan komponen utama ekosistem AI seperti tenaga, pusat data, pengkomputeran awan, model AI dan aplikasi supaya negara mempunyai keupayaan membangunkan teknologi secara mampan tanpa bergantung kepada pihak luar.

Menurut YTL Power International Berhad, kepentingan AI berdaulat semakin jelas apabila akses kepada model AI Claude Fable 5 milik syarikat Amerika Syarikat, Anthropic, digantung sementara kepada pengguna asing pada pertengahan Jun lalu susulan arahan kawalan eksport negara itu sebelum dipulihkan beberapa minggu kemudian.

Pengarah Eksekutif YTL Power International Berhad, Yeoh Keong Hann berkata, AI bakal menjadi antara teknologi paling penting pada generasi ini, setanding dengan kemunculan elektrik dan internet.

Beliau berkata, pembinaan AI berdaulat bukan hanya tertumpu kepada pembangunan model AI, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem daripada infrastruktur digital dan perkhidmatan awan sehingga kepada pembangunan aplikasi yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Malaysia perlu membangunkan keseluruhan rantaian keupayaan AI supaya negara mampu berinovasi, bersaing dan menentukan hala tuju pembangunan AI mengikut keperluan sendiri,” katanya.

YTL menjelaskan pembangunan AI memerlukan lima komponen utama iaitu tenaga, pusat data, pengkomputeran awan (cloud), model AI dan aplikasi.

Dalam aspek tenaga, syarikat itu telah beroperasi sebagai pengeluar tenaga bebas selama lebih tiga dekad bagi menyokong keperluan industri, termasuk sektor AI yang memerlukan bekalan elektrik berterusan.

Bagi pusat data pula, YTL sedang membangunkan kampus pusat data seluas kira-kira 1,600 ekar di Johor berhampiran Singapura dengan sasaran kapasiti sehingga 1,200 megawatt, membolehkan operasi AI berskala besar dilaksanakan di dalam negara.

Dalam sektor pengkomputeran awan, YTL AI Cloud turut mencatat pencapaian apabila menjadi antara penyedia awan pertama di Asia yang menerima pengiktirafan NVIDIA Exemplar Cloud, sekali gus meletakkannya dalam kalangan 14 penyedia awan terbaik dunia bagi beban kerja AI.

Sementara itu, YTL AI Labs membangunkan model AI tempatan dikenali sebagai ILMU, yang direka khusus untuk memahami bahasa, budaya dan konteks masyarakat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, ILMU dibangunkan dengan matlamat memastikan AI benar-benar memahami bahasa serta keperluan rakyat Malaysia.

Menurutnya, model itu kini menduduki tangga teratas dunia dalam penanda aras MalayMMLU, yang mengukur keupayaan AI menjawab pelbagai soalan akademik dan pengetahuan am dalam Bahasa Melayu.

Selain model AI, YTL turut memperkenalkan beberapa aplikasi termasuk ILMU Claw, Ryt Bank, iaitu bank digital pertama negara yang dikuasakan AI, serta Yes, syarikat telekomunikasi yang menawarkan akses kepada ILMUchat Pro dan pembantu maya Sofea.

Menurut YTL, Malaysia kini memiliki keupayaan merentasi kelima-lima lapisan pembangunan AI, sekali gus meletakkan negara dalam kedudukan kukuh untuk muncul sebagai peneraju AI di ASEAN dan memperkukuhkan daya saing dalam ekonomi digital global.

BBerkaitan

Latest articles