IPOH: Mengambil kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “dalam politik tiada musuh atau sahabat yang kekal”, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan perbezaan politik merosakkan hubungan sesama insan.
Beliau berkata, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam politik, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk saling menghina, mencerca atau memutuskan silaturahim.
“Ini politik. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam politik tiada musuh atau sahabat yang kekal.
“Tetapi seeloknya kita janganlah saling luka-melukai antara satu sama lain. Berbeza pendapat dan pandangan itu baik, tetapi jangan sampai mengutuk, mencerca atau memutuskan silaturahim,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang pada Khamis.
Mengulas perkembangan politik semasa susulan tindakan DAP Melaka menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri itu, Saarani memberi jaminan bahawa situasi sama tidak akan berlaku di Perak.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Perak kekal komited meneruskan kerjasama sebagai Kerajaan Perpaduan sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Katanya, perkara itu dipersetujui bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi memastikan pentadbiran negeri terus stabil dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Semalam sebelum mesyuarat Exco, saya duduk bersama Exco-Exco dan bertanya secara terus terang sama ada apa yang berlaku di Melaka akan berlaku di Perak.
“Setakat ini tidak berlaku. Kita berikrar bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan ini, sehingga pembubaran DUN, kita akan terus berfungsi dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa,” katanya.
Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, walaupun wujud perbezaan pendekatan dan pandangan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan negeri, ia tidak menghalang kerjasama demi kepentingan rakyat.
“Ada orang suara kuat, ada orang suara perlahan. Ada orang suara kuat, tetapi hatinya baik. Jadi, pelbagai pendekatan dalam politik ini adalah perkara biasa,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan DAP Melaka mengumumkan keluar daripada pentadbiran Kerajaan Melaka serta melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri selepas DUN Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi menambah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan di Perak dengan menguasai 33 daripada 59 kerusi DUN, hasil gabungan 24 kerusi dimenangi PH dan sembilan kerusi oleh BN, sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk dengan majoriti mudah.










