PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan Larian Kesyukuran dari Istana Kehakiman, Putrajaya menuju ke Laman Maharani, Muar pada Khamis dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 untuk membantu golongan memerlukan di kawasannya.
Menurut Syed Saddiq, larian selama empat hari itu dianjurkan sebagai tanda kesyukuran selepas perjuangannya selama enam tahun berakhir dengan pembebasan daripada pertuduhan, selain mahu berkongsi rezeki bersama masyarakat.
“Larian ini adalah cara terbaik untuk saya menzahirkan rasa syukur dengan memberi semula kepada rakyat, khususnya warga Muar,” katanya kepada pemberita sebelum memulakan larian.
Beliau berkata, dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan bagi membeli iPad untuk mahasiswa yang memerlukan serta menyediakan bakul makanan kepada keluarga kurang berkemampuan.
Syed Saddiq turut memaklumkan sambutan orang ramai terhadap inisiatif itu amat menggalakkan apabila sumbangan mula diterima sebelum larian bermula.
Larian yang bermula selepas jam 5 petang itu turut disertai tunangnya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah serta dua peserta lain.
Mengulas pemilihan Istana Kehakiman sebagai lokasi permulaan, Syed Saddiq berkata, tempat itu mempunyai nilai sentimental kerana di situlah beliau memperoleh keadilan dan nama baiknya dipulihkan selepas melalui proses perundangan yang panjang.
Beliau berkata, sepanjang larian itu, fokus utamanya adalah untuk menamatkan misi berkenaan sambil mengumpul sebanyak mungkin sumbangan bagi membantu lebih ramai penduduk di Muar.










