Anwar Mahu Rakyat Kekalkan PH Supaya Agenda Pembangunan Negeri Sembilan Diteruskan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memastikan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selama ini telah membolehkan pelbagai projek serta inisiatif pembangunan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat, namun masih banyak agenda yang perlu disempurnakan.

Anwar berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memimpin negeri itu sejak 2018 dengan penuh amanah, sederhana dan berintegriti, sekali gus wajar diberikan kepercayaan untuk meneruskan kepimpinan.

“Alhamdulillah, saudara Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min telah memimpin Negeri Sembilan sejak 2018 dengan amanah, sederhana dan berintegriti.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan kepercayaan kepada HARAPAN di bawah pimpinan Tok Min. Jangan biarkan usaha yang telah kita bina bersama ini terhenti di pertengahan jalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pengerusi PH itu berkata, mandat baharu daripada rakyat akan membolehkan Negeri Sembilan terus ditadbir oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau turut memberi jaminan bahawa PH akan terus memikul tanggungjawab tersebut sebaik mungkin demi memastikan negeri berkenaan terus menikmati kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai sebelum hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles