KUALA LUMPUR: Seramai 34 orang Ahli Parlimen daripada pelbagai blok politik telah menandatangani dokumen bagi menyokong desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ di negara ini.
Sekretariat #RCINow dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sokongan dwipartisan itu diperoleh hasil pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen dalam tempoh tiga hari lepas bagi menerangkan isu berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kesemua wakil rakyat yang menyatakan sokongan terdiri daripada wakil parti PKR, AMANAH, PAS, DAP, BERSATU, STAR, UPKO, UMNO dan WAWASAN.
Bagaimanapun, sekretariat itu mendedahkan masih terdapat beberapa Ahli Parlimen yang ditemui enggan memberikan sokongan dengan menandatangani dokumen tersebut.
“Sokongan 34 orang Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik ini membuktikan bahawa isu integriti institusi, pembanterasan rasuah dan akauntabiliti kerajaan merupakan isu yang merentasi sempadan politik, dan bukannya agenda mana-mana parti tertentu,” menurut kenyataan itu.
Langkah ini menyusul selepas dua minggu sekretariat berkenaan menyerahkan memorandum di Parlimen bagi mendesak penubuhan RCI tersebut.
Menurut #RCINow, penubuhan suruhanjaya bebas itu penting bagi menyiasat secara menyeluruh dakwaan kewujudan mafia korporat yang melibatkan pelbagai individu, termasuk dakwaan terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki serta agensi pencegahan rasuah itu sendiri.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa kegagalan kerajaan untuk mendedahkan dapatan jawatankuasa khas yang menyiasat isu pemilikan saham Azam Baki sebelum ini hanya menambah persepsi negatif awam, sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang serta sistem keadilan negara.
“Justeru, penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan bagi memastikan semua dakwaan disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh bagi memulihkan semula keyakinan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi menggerakkan usaha itu, Sekretariat #RCINow akan terus menghubungi Ahli-Ahli Parlimen yang lain melalui e-mel rasmi serta lawatan ke pejabat kawasan masing-masing bagi mengumpul lebih banyak sokongan.
Sekretariat itu turut memberikan tempoh selama 14 hari bermula hari ini sehingga Khamis, 30 Julai 2026 kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan maklum balas dan menyatakan pendirian mereka.
“Pihak Sekretariat #RCINow bercadang untuk menerbitkan senarai penuh nama-nama semua Ahli Parlimen dan pendirian mereka pada Isnin, 3 Ogos 2026,” kata kenyataan itu.










