KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin bertukar sedikit tegang apabila Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor menegur Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan susulan kenyataan berbaur sindiran mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Insiden itu berlaku ketika sesi pertanyaan lisan apabila Mohd Sany membuat ucapan tahniah dan takziah secara berseloroh kepada beberapa parti politik berdasarkan keputusan PRN Johor sehingga mengundang reaksi serta gelak tawa dalam kalangan Ahli Parlimen.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Perikatan Nasional, Pas. Takziah kepada BN… eh, terbalik. Tahniah kepada BN, takziah kepada Perikatan Nasional dan Pas,” katanya.
Kenyataan tersebut menyebabkan suasana Dewan menjadi riuh sebelum Ramli segera mencelah bagi mengawal keadaan serta mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Beliau menegaskan Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) melarang mana-mana Ahli Parlimen mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung atau menyakitkan hati ahli lain.
“Sebentar, Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) jelas, jangan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati dalam kalangan Ahli Parlimen.
“Yang Berhormat yang lain itu tolong diam sekejap. Saya sudah beri amaran. Saya berharap jangan buat, kesabaran itu ada had,” katanya sebelum mengarahkan sesi diteruskan.
Ketika itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sedang bangun bagi menjawab soalan asal dikemukakan Mohd Sany mengenai langkah kerajaan menangani kekurangan kolej kediaman sehingga memaksa ramai pelajar menyewa di luar kampus dengan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, Zambry memilih untuk tidak mengulas isu politik yang dibangkitkan dan terus memberi tumpuan kepada soalan berkaitan dasar kementeriannya.
“Saya tidak berhasrat untuk menjawab soalan politik kerana tumpu kepada soalan asal. Apa pun terima kasih atas apa yang disuarakan,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian berlangsung seperti biasa selepas teguran daripada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu.
Untuk rekod, BN muncul dengan kemenangan besar dalam PRN Johor apabila berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengekalkan pentadbiran negeri.
Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai sasaran yang ditetapkan apabila mencatat prestasi yang jauh lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai kedudukan gabungan itu menjelang persaingan politik seterusnya.










