BN Menang Besar, AMK Salahkan Parti Bersama Pecahkan Undi PH

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kemunculan Parti Bersama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN), apabila parti itu didakwa menghakis sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol mendakwa penyertaan parti yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli itu tidak memberi ancaman kepada BN, sebaliknya menyebabkan undi penyokong reformasi berpecah sehingga memudahkan laluan gabungan berkenaan meraih kemenangan di beberapa kerusi.

Menurut beliau, keputusan PRN Johor membuktikan strategi Parti Bersama gagal mencapai matlamat apabila bukan sahaja tewas di kebanyakan kerusi yang ditandingi, malah didakwa membantu lawan memperoleh kelebihan.

“Saya harap mereka sudah boleh tutup kedai selepas ini apabila misi membalas dendam kepada PH, khususnya di Johor, telah berjaya.

“Saya juga berharap Rafizi berpuas hati dengan pencapaian itu walaupun berhabis puluhan ribu ringgit untuk bertanding tetapi akhirnya kehilangan deposit,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menggesa penyokong PH supaya tidak lagi memberikan ruang simpati kepada Parti Bersama kerana mendakwa tindakan parti itu hanya akan memberi manfaat kepada lawan sekiranya pendekatan sama diteruskan pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka.

Dzul Hilmi berkata, sepanjang tempoh berkempen, Parti Bersama didakwa lebih banyak menumpukan serangan terhadap PH dan PKR berbanding mengetengahkan dasar atau penyelesaian baharu yang mampu menarik keyakinan rakyat.

Katanya, keputusan pilihan raya menunjukkan pihak yang paling meraih keuntungan daripada pertembungan sesama blok reformasi ialah BN.

“Apabila undi penyokong reformasi berpecah, pihak yang paling mendapat manfaat ialah BN. Itulah yang berlaku berdasarkan keputusan PRN Johor,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin DAP, Tony Pua dilaporkan menyatakan pertandingan Parti Bersama didakwa memberi kesan kepada peluang PH di beberapa kerusi termasuk Perling, Stulang dan Bukit Batu.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, kegagalan Parti Bersama memperoleh sokongan sehingga kehilangan deposit di banyak kerusi sewajarnya dijadikan iktibar dan ruang untuk menilai semula hala tuju parti itu.

Beliau menegaskan semua pihak yang memperjuangkan agenda reformasi perlu mengutamakan usaha memperkukuhkan PH serta menumpukan perhatian kepada kepentingan rakyat, bukannya mewujudkan perpecahan yang akhirnya menguntungkan BN dan PAS.

“Perpaduan dalam kalangan parti yang berkongsi aspirasi reformasi adalah kunci untuk menghadapi pilihan raya akan datang, manakala perpecahan hanya membuka ruang kepada pihak lawan untuk terus mengukuhkan kedudukan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles