Keputusan Majoriti 2-1, Rayuan Akhir Berpihak Kepada Syed Saddiq Kekal Bebas

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada kesemua empat pertuduhan jenayah selepas rayuan akhir pihak pendakwaan ditolak menerusi keputusan majoriti 2-1.

Keputusan itu dicapai selepas Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersetuju mengekalkan pembebasan Syed Saddiq, manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, mengambil pendirian berbeza apabila berpendapat Syed Saddiq masih perlu disabitkan atas tiga daripada empat pertuduhan.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu terdiri daripada Abu Bakar, Che Mohd Ruzima dan Collin.

Sepanjang prosiding, pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Syed Saddiq sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan, iaitu bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), serta dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

*Majoriti hakim kekalkan pembebasan*

Dalam penghakiman majoriti, Che Mohd Ruzima memutuskan sabitan Mahkamah Tinggi terhadap Syed Saddiq bagi kesemua empat pertuduhan adalah tidak selamat dan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya tidak seharusnya diganggu.

Beliau berkata bagi pertuduhan pertama, pendakwaan perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa pelaku utama melakukan kesalahan pecah amanah jenayah sebelum seseorang boleh dipertanggungjawabkan atas pertuduhan bersubahat.

Menurutnya, tindakan mengeluarkan RM1 juta daripada akaun ARMADA tidak dengan sendirinya memenuhi elemen kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata Perkara 24.8 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanya mensyaratkan kelulusan bagi perbelanjaan melebihi RM500,000 dan bukannya pengeluaran wang.

“Perlembagaan Bersatu bukan undang-undang jenayah, sebaliknya hanya satu set peraturan yang mengikat parti dan ahlinya,” katanya.

Che Mohd Ruzima turut menegaskan bahawa bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, tidak pernah didakwa atau disabitkan atas kesalahan pecah amanah jenayah.

Katanya, walau sekuat mana syak wasangka terhadap seseorang tertuduh, ia tidak boleh menggantikan pembuktian melampaui keraguan munasabah.

Beliau juga menolak hujah pendakwaan bahawa Mahkamah Rayuan membuat tuduhan liar apabila menyatakan terdapat kemungkinan saksi utama memberikan keterangan selepas berdepan tekanan.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan telah menilai keseluruhan keterangan sebelum membuat dapatan bahawa kemungkinan itu disokong oleh bahan keterangan yang direkodkan.

Bagi pertuduhan kedua, Che Mohd Ruzima berkata pendakwaan gagal membuktikan elemen utama di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, iaitu bahawa wang RM120,000 itu adalah milik pihak lain.

Beliau berkata walaupun pertuduhan menyatakan wang itu milik ABBE, keseluruhan keterangan pendakwaan menunjukkan akaun ABBE digunakan untuk menerima kutipan dana bagi kempen pilihan raya Syed Saddiq.

Menurutnya, Rafiq sendiri memberi keterangan bahawa beliau menawarkan akaun ABBE bagi tujuan tersebut, manakala pegawai penyiasat turut mengesahkan dua acara kutipan dana itu diadakan khusus bagi membiayai kempen Syed Saddiq pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Che Mohd Ruzima berkata tiada seorang pun saksi pendakwaan membuktikan wang RM120,000 itu sebenarnya milik ABBE, Rafiq atau mana-mana pihak lain.

Sebaliknya, beliau berpandangan pemilikan wang itu berpindah daripada penderma kepada Syed Saddiq apabila sumbangan diberikan bagi tujuan kempen politiknya, sekali gus menjadikan beliau pemilik benefisial wang tersebut.

“Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan salah satu elemen utama kesalahan di bawah Seksyen 403,” katanya.

Beliau berkata dua pertuduhan pengubahan wang haram pula bergantung sepenuhnya kepada pembuktian kesalahan asal di bawah Seksyen 403.

Apabila pertuduhan salah guna RM120,000 gagal dibuktikan, katanya, dua transaksi RM50,000 ke akaun ASB juga tidak boleh dianggap melibatkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

*Collin setuju Mahkamah Rayuan*

Collin turut bersetuju bahawa Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila memutuskan pertuduhan pertama gagal dibuktikan.

Beliau berkata perkataan “perbelanjaan” dalam Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu tidak boleh disamakan dengan “pengeluaran” wang.

“Tidak perlu dilakukan tafsiran yang rumit kerana maksud biasa dan literal perkataan itu sudah memadai,” katanya.

Menurutnya, Perkara 24.8 hanya mensyaratkan kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi perbelanjaan melebihi RM500,000 dan bukannya pengeluaran wang.

Collin berkata keterangan menunjukkan selepas RM1 juta dikeluarkan daripada akaun ARMADA, wang itu diagihkan bagi pelbagai program dan aktiviti ARMADA.

Beliau turut merujuk keterangan pegawai penyiasat bahawa jumlah sebenar yang dibelanjakan adalah kurang daripada RM500,000, sekali gus bermakna kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak diperlukan.

Beliau berkata terdapat percanggahan dalam keterangan Rafiq berhubung dakwaan bahawa Syed Saddiq mengarahkannya “menghabiskan” wang itu selepas kehilangan RM250,000 di rumah Syed Saddiq.

Menurutnya, Rafiq akhirnya mengakui beliau tidak dapat mengingati sama ada arahan sedemikian benar-benar diberikan.

Collin berkata sebarang percanggahan itu perlu diputuskan dengan memberikan manfaat keraguan kepada Syed Saddiq.

Beliau turut menerima keterangan bahawa wang RM1 juta tersebut digunakan bagi program kebajikan ARMADA termasuk bantuan semasa pandemik COVID-19 serta program Ramadan dan Hari Raya.

Katanya, tiada keterangan menunjukkan Syed Saddiq menerima manfaat peribadi daripada wang RM1 juta itu atau mana-mana bahagiannya dimasukkan ke akaun peribadinya.

“Oleh sebab elemen penting kesalahan pecah amanah jenayah tidak dipenuhi, pertuduhan bersubahat juga tidak boleh dipertahankan,” katanya.

Walaupun Collin memulakan analisis terhadap pertuduhan kedua dalam penghakimannya, beliau akhirnya bersetuju dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada kesemua empat pertuduhan.

*Hakim Abu Bakar berbeza pendirian*

Dalam penghakiman yang berbeza, Abu Bakar bersetuju bahawa pertuduhan pertama membabitkan subahat melakukan pecah amanah jenayah gagal dibuktikan.

Beliau berkata tindakan mengeluarkan wang semata-mata tidak dilarang di bawah Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu kerana peruntukan itu hanya menyentuh soal penggunaan atau perbelanjaan wang.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan kedua membabitkan penyalahgunaan RM120,000.

Menurutnya, wang itu merupakan sumbangan penderma bagi kempen pilihan raya dan bukannya milik peribadi Syed Saddiq.

Beliau berkata tiada bukti penderma dimaklumkan bahawa wang berkenaan akan digunakan untuk membayar balik perbelanjaan yang didakwa telah didahulukan oleh Syed Saddiq.

Abu Bakar turut memutuskan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjaya dibuktikan kerana wang RM50,000 yang dipindahkan ke akaun ASB berpunca daripada kesalahan salah guna harta.

Beliau juga berpandangan dakwaan bahawa saksi pendakwaan ditekan untuk memberikan keterangan tidak disokong bukti mencukupi sehingga menimbulkan keraguan munasabah.

Sekiranya pendiriannya menjadi keputusan majoriti, Abu Bakar berpendapat hukuman yang sesuai ialah penjara enam bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat masing-masing penjara enam bulan serta denda RM5 juta, dengan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda.

Dengan keputusan majoriti 2-1 itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada kesemua empat pertuduhan, sekali gus menolak rayuan akhir pihak pendakwaan.

Syed Saddiq sebelum ini didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan RM120,000 milik ABBE serta melakukan dua transaksi pengubahan wang haram membabitkan RM50,000 masing-masing ke akaun ASB pada 16 dan 19 Jun 2018.

BBerkaitan

Latest articles