SEREMBAN: PAS mengakui tidak kecewa meskipun gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya menyifatkan keputusan itu sebagai satu pengorbanan demi memastikan kepimpinan Melayu-Islam terus menerajui negeri berkenaan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sengaja menggerakkan ahlinya supaya membantu calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi PAS, termasuk memberikan sokongan kepada calon MCA, bagi mengelakkan kemenangan memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha melakukan islah atau pembaikan mengikut kemampuan parti demi mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam di Johor.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana Johor selamat. Tidak mengapa BN menang dan kita tidak menang walaupun satu kerusi pun kerana kita melakukan islah untuk membaiki keadaan mengikut kemampuan kita.
“PAS sanggup berkorban dengan mengerahkan ahli supaya memberi sokongan kepada calon BN di kawasan yang tidak kita tandingi termasuk sokongan kepada calon MCA,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana PAS Negeri Sembilan, malam tadi.
Abdul Hadi berkata, strategi berkenaan berjaya menyekat kemaraan PH sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar BN pada pilihan raya tersebut.
Beliau mengibaratkan pengorbanan PAS itu seperti lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain, sekali gus menunjukkan parti berkenaan lebih mengutamakan matlamat mempertahankan kepimpinan Melayu-Islam berbanding kepentingan politik semata-mata.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan BN supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan diraih kerana kedudukan politik boleh berubah pada bila-bila masa.
“UMNO jangan ingat dia kuat sampai bila-bila. Pada pilihan raya lalu, ada kawasan yang UMNO kalah dan dimenangi calon DAP Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan penyertaan PAS dalam PRN Johor bukan bertujuan merampas tampuk pentadbiran negeri, sebaliknya bagi memastikan kepimpinan Melayu terus dipertahankan.
Katanya, terlalu banyak parti Melayu bertanding hanya akan memecahkan undi dan melemahkan kedudukan orang Melayu.
“PAS nak tawan Johor tak boleh kerana UMNO sudah menang di Johor. Tapi UMNO ini ada Melayunya yang dekat dengan Islam,” katanya.
Mengulas hubungan dengan masyarakat bukan Islam, beliau berkata PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama selagi kerjasama itu membawa manfaat dan tidak melibatkan campur tangan dalam urusan agama Islam.
Namun, beliau mendakwa DAP mengambil pendekatan berbeza apabila sering mengkritik perjuangan Islam yang dibawa PAS ketika kedua-dua parti pernah berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Beliau turut mendakwa DAP pernah membantah usaha kerajaan Kelantan dan Terengganu mengharamkan arak serta perjudian, selain mendakwa parti itu semakin berani menyentuh isu berkaitan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan selepas mempunyai pengaruh dalam kerajaan Pusat.










